Sabtu, 3 September 2016

Kebaikan Belajar Secara Berkumpulan

Belajar secara berkumpulan bermaksud belajar dalan kumpulan yang terdiri daripada 2 hingga 5 orang. Kita boleh belajar secara kumpulam di dalam dan luar kelas. Aktiviti belajar secara berkumpulan boleh dijalankan pada bila-bila masa sahaja.
Terdapat banyak kelebihan belajar secara berkumpulan. Antaranya adalah kita boleh mendapat banyak ilmu pengetahuan. Ramai orang dapat memberi banyak idea. Contohnya, sekiranya terdapat lima orang murid belajar dalam satu kumpulan ini bermakna kita akan dapat lima idea yang berbeza. Oleh itu, idea yang kita peroleh boleh digunakan untuk membantu kita dalam pelajaran.
Selain itu, belajar secara berkumpulan juga dapat menghilangkan rasa bosan. Ini kerana semasa belajar dengan rakan-rakan, kita akan lebih berkomunikasi. Secara tidak langsung kita dapat belajar cara berkomunikasi dengan betul.
Seterusnya, belajar secara berkumpulan, kita dapat mengisi masa lapang dan mengelakan diri dari melakukan aktiviti yang tidak berfaedah. Dengan ini kita dapat berbincang soalan soalan berbentuk peperiksaan.
Di samping itu juga, kita dapat melatih diri bertolak ansur dengan rakan-rakan. Ini kerana kita perlu belajar menghormati pendapat rakan-rakan. Secara tidak langsung kita dapat mengeratkan hubungan dengan rakan.

Sebagai kesimpulannya belajar berkumpulan mendatangkan banyak faedah. Oleh itu, semua murid seharusnya belajar bersama-sama rakan sebaya.

Kepentingan ICT

Dalam mendepani arus globalisasi, Malaysia telah berjaya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Hal ini demikian kerana pelbagai kemudahan teknologi yang dicipta marcapada ibarat cendawan tumbuh selepas hujan apabila manusia berlumba-lumba untuk mencipta teknologi yang memudahkan kehidupan seharian.
Terdapat pelbagai kepentingan prima penggunaan teknologi maklumat  dalam kehidupan manusia. Antaranya ialah memudahkan manusia untuk mendapatkan maklumat di hujung jari terutama dalam kalangan murid. Menerusi teknologi maklumat ini, manusia akan dapat mempelajari pelbagai maklumat keduniaan yang dapat membuka dan meluaskan minda mereka. Selain maklumat pendidikan, kita juga dapat mencari maklumat mengenai hiburan, isu-isu politik dan sebagainya.
Selain itu, manusia juga dapat berkomunikasi antara satu sama lain tanpa sempadan. Pengenalan mengenai laman sosial seperti "Facebook", "Twitter", "Friendster" dan sebagainya telah menghubungkan manusia dengan dunia luar. Sebagai contoh seseorang yang berada di luar negara sama ada atas urusan perniagaan atau menuntut ilmu dapat melepaskan rindu serta bertanya khabar kepada keluarga tercinta yang berada di perantaan hanya dengan menggunakan teknologi laman sosial.
Seterusnya, teknologi maklumat ini juga memudahkan ahli perniagaan menjalankan aktiviti perniagaan mereka hanya di dalam talian sahaja sekaligus dapat menjimatkan kos dan tenaga. Aktiviti perniagaan yang dijalankan melalui talian bukan sahaja dapat memudahkan urusan pekerja, bahkan ia juga dapat memudahkan pembeli atau pengguna.
Akhir sekali, manusia dapat melakukan pembayaran bil dan urusan perbankan melalui laman sesawang sahaja. Manusia tidak perlu menghabiskan tenaga dan bersusah-payah untuk menguruskan pelbagai pembayaran dan urusan-urusan kewangan. Ia juga memudahkan seseorang yang terlalu sibuk dengan kerja seharian membuat pembayaran dengan mudah.
Kesimpulannya, teknologi maklumat yang ada marcapada memainkan peranan vital kepada setiap manusia. Teknologi maklumat ini haruslah digunakan dengan sebaik yang mungkin kerana banyak manfaat yang dapat kita peroleh menerusi peranan teknologi maklumat itu sendiri.

Kepentingan Air

Air merupakan keperluan utama hidupan di muka bumi ini. Manusia, tumbuh-tumbuhan dan binatang memerlukan air untuk meneruskan kelangsungan hidup.
      Air ialah sumber minuman kerana tanpa air hidupan akan mati. Sumber minuman ini boleh didapati daripada aliran anak sungai dan diproses sebelum boleh digunakan. Tumbuhan pula bergantung kepada air hujan supaya dapat hidup dengan subur dan menjalankan proses fotosintesis.
      Selain itu, manusia juga menggunakan air untuk menjalani kehidupan seharian. Contohnya, untuk memasak, mandi, mencuci dan sebagainya. Tanpa air, kehidupan manusia akan terjejas dan akan berlakulah kekalutan untuk mendapatkan air.
       Air juga adalah sumber penting kepada para petani untuk tamanan mereka. Tanpa air, tamanan akan kering dan layu serta terjejaslah sumber pendapatan para petani. Manusia juga akan mendapat kesusahan kerana kekurangan sumber makanan yang berasaskan sayur-sayuran dan bijirin. 
       Di samping itu, kilang-kilang juga sangat memerlukan air dalam penghasilan produk mereka. Contohnya, kilang yang membuat ais, minuman dan makanan. Tanpa air, operasi kilang akan terhenti dan pastinya menyebabkan kerugian yang besar kepada pekilang.

       Kesimpulannya, air adalah sumber semula jadi yang sangat penting dan berkaitan dengan kehidupan manusia. Namun, sebagai pengguna kita hendaklah berjimat semasa menggunakan air supaya tidak berlaku pembaziran.

Amalan Jimat Cermat

Berjimat-cermat Amalan Mulia

Amalan berjimat-cermat harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Berjimat-cermat bermaksud menggunakan apa yang kita miliki untuk perkara-perkara yang perlu sahaja tanpa pembaziran.
Banyak faedahnya apabila kita berjimat-cermat. Antara faedahnya ialah kita boleh menyimpan atau menabung wang untuk tujuan yang lebih penting. Wang itu nanti boleh digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah seperti membeli buku-buku latihan dan sebagainya lagi.
Selain itu, sikap berjimat-cermat akan menyebabkan seseorang sentiasa berfikir panjang sebelum membeli sesuatu barangan. Sikap seperti ini boleh mengurangkan kesilapan membeli sesuatu barangan yang kurang perlu sehingga akhirnya barangan tersebut terbuang begitu sahaja. Ini tentu merugikan kita. 
Berjimat-cermat juga mengelakkan seseorang daripada terjebak dengan masalah hutang. Orang yang berbelanja dengan boros biasanya tidak berfikir panjang untuk berbelanja sehingga mereka sanggup berhutang. Ini menyebabkan mereka terjerat dengan masalah hutang hingga menyusahkan diri mereka sendiri.
Berjimat-cermat juga bermakna kita dapat memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, mengisi masa lapang dengan bersukan akan menjadikan tubuh kita sihat dan cergas. Ini dapat mengelakkan kita daripada selalu berulang-alik ke klinik atau hospital akibat daripada masalah kesihatan. Hal yang demikian tentu akan membazirkan masa dan wang untuk mendapatkan rawatan.
Di samping itu, amalan berjimat-cermat juga menjadikan seseorang itu berdisplin tinggi. Mereka sentiasa mengambil berat tentang penjimatan dan kecermatan. Misalnya, mereka akan sentiasa menutup kembali barangan elektrik seperti kipas, pendingin hawa dan sebagainya selepas digunakan. Ini akan mengelakkan mereka daripada membayar bil elektrik yang tinggi.
Kesimpulannya, kita perlu sentiasa berusaha bagi memastikan amalan berjimat-cermat menjadi budaya hidup kita. Amalan ini pasti akan menguntungkan kita serta mengelakkan kita ditimpa pelbagai masalah.

Jumaat, 2 September 2016

Kelebihan Sukan

KARANGAN FAKTA : FAEDAH BERSUKAN



Bersukan merupakan aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh daripada tubuh badan kita. Malah, kerajaan menggalakkan rakyatnya sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti sukan. Hal ini kerana melalui bersukan banyak faedah yang kita peroleh.
           Salah satu daripada faedahnya ialah 
dapat menyihatkan tubuh badan. Apabila kita berakreasi seperti berbasikal, bermain badminton dan sebagainya, badan akan mengeluarkan peluh dan berlaku pembakaran lemak dalam tubuh kita. Kesannya, badan kita menjadi sihat dan cergas serta tidak berasa lesu ketika belajar di dalam kelas.
Seterusnya, melalui bersukan kita dapat mengeratkan hubungan dan menambah kenalan. Kita dapat berkenalan dengan sesiapa sahaja tidak mengira umur, bangsa mahupun agama. Kebiasaannya, ketika kita berjoging di taman-taman, kita akan bertegur sapa dengan individu yang berada di kawasan itu. Hal ini akan mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum dapat dipupuk.
            Selain itu, bersukan juga merupakan aktiviti 
mengisi masa lapang secara bermanfaat. Sesi latihan  permainan atau beriadah biasanya dijalankan ketika waktu lapang. Kesibukan kita menyertai sesi latihan dan beriadah dapat menghidarkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial.

Di samping itu, dengan bersukan kita dapat mengharumkan nama sekolah. Sekiranya kita berbakat dalam bidang sukan, kita akan dapat mewakili pasukan sekolah, daerah, negeri mahupun negara. Apabila kita berjaya memenangi mana-mana kejohanan sukan, maka kita telah berjaya mengharumkan nama sekolah. Nama kita juga kian dikenali dan rezeki makin bertambah.
        Kesimpulannya, tiada menjadi kerugian jika kita aktif bersukan. Marilah kita bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia masyarakat yang cerdas dan cergas.

Kepentingan Kokurikulum

Kepentingan Kegiatan Kokurikulum di Sekolah
Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti luar bilik darjah yang dibimbing oleh guru-guru. Pelbagai aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah, misalnya aktiviti kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta pasukan beruniform. Oleh yang demikian, aktiviti kokurikulum perlu disertai oleh murid-murid kerana ada banyak kepentingannya.
Kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, kita tiada masa untuk melepak dan  bergaul dengan budak-budak nakal. Secara tidak langsung akan dapat menghindari diri kita daripada terjebak dengan gajala sosial. Contohnya, jika kita aktif dalam bidang sukan, masa lapang kita akan diisi dengan latihan yang diselia oleh guru-guru.
Selain itu, kegiatan kokurikulum dapat membentuk disiplin diri. Contohnya, semasa menyertai aktiviti persatuan, sukan atau unit beruniform, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya.
Di samping itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada pelbagai jawatan dalam persatuan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan maka kita akan belajar menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.
Seterusnya, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap unit kokurikulum mempunyai ramai ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Kita boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama ahli.
Kesimpulannya, banyak kepentingan kegiatan kokurikulum kepada murid-murid di sekolah.Oleh itu, pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum.

Membaca Jambatan Ilmu

Faedah-faedah Membaca

Amalan membaca merupakan salah satu tabiat yang amat bermanfaat. Semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca kerana Membaca Jambatan Ilmu.
Antara kebaikan membaca termasuklah dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Kita dapat mengetahui tentang perkara-perkara baru yang tidak kita ketahui sebelum ini. Pengetahuan am kita akan bertambah luas dan kita akan menjadi lebih bijak.
Selain itu, kita dapat mengetahui tentang isu-isu atau perkembangan semasa yang berlaku di dalam negeri dan di luar negara. Contohnya isu kegawatan ekonomi, bencana dan peperangan, krisis air dan pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh dunia. Justeru, kita tidak lagi ketinggalan zaman atau dianggap "seperti katak di bawah tempurung".
Membaca dapat mematangkan fikiran kita juga. Dengan membaca, kita dapat mengetahui tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Oleh itu, kita didorong untuk berfikir secara lebih baik dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara itu.
Masa adalah emas dan perlu digunakan dengan bijak. Membaca buku-buku seperti ini amat bermanfaat. Kita haruslah tanamkan sikap suka membaca buku. Jadikanlah amalan membaca buku amalan harian.

Sesungguhnya banyak kebaikan atau faedah yang dapat diperoleh dengan membaca. Justeru, tabiat membaca harus dijadikan amalan seharian. Kita perlu mencontohi sikap masyarakat di negara maju seperti Jepun yang menjadikan membaca sebagai budaya hidup mereka.