Sabtu, 3 September 2016

Kebaikan Belajar Secara Berkumpulan

Belajar secara berkumpulan bermaksud belajar dalan kumpulan yang terdiri daripada 2 hingga 5 orang. Kita boleh belajar secara kumpulam di dalam dan luar kelas. Aktiviti belajar secara berkumpulan boleh dijalankan pada bila-bila masa sahaja.
Terdapat banyak kelebihan belajar secara berkumpulan. Antaranya adalah kita boleh mendapat banyak ilmu pengetahuan. Ramai orang dapat memberi banyak idea. Contohnya, sekiranya terdapat lima orang murid belajar dalam satu kumpulan ini bermakna kita akan dapat lima idea yang berbeza. Oleh itu, idea yang kita peroleh boleh digunakan untuk membantu kita dalam pelajaran.
Selain itu, belajar secara berkumpulan juga dapat menghilangkan rasa bosan. Ini kerana semasa belajar dengan rakan-rakan, kita akan lebih berkomunikasi. Secara tidak langsung kita dapat belajar cara berkomunikasi dengan betul.
Seterusnya, belajar secara berkumpulan, kita dapat mengisi masa lapang dan mengelakan diri dari melakukan aktiviti yang tidak berfaedah. Dengan ini kita dapat berbincang soalan soalan berbentuk peperiksaan.
Di samping itu juga, kita dapat melatih diri bertolak ansur dengan rakan-rakan. Ini kerana kita perlu belajar menghormati pendapat rakan-rakan. Secara tidak langsung kita dapat mengeratkan hubungan dengan rakan.

Sebagai kesimpulannya belajar berkumpulan mendatangkan banyak faedah. Oleh itu, semua murid seharusnya belajar bersama-sama rakan sebaya.

Kepentingan ICT

Dalam mendepani arus globalisasi, Malaysia telah berjaya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Hal ini demikian kerana pelbagai kemudahan teknologi yang dicipta marcapada ibarat cendawan tumbuh selepas hujan apabila manusia berlumba-lumba untuk mencipta teknologi yang memudahkan kehidupan seharian.
Terdapat pelbagai kepentingan prima penggunaan teknologi maklumat  dalam kehidupan manusia. Antaranya ialah memudahkan manusia untuk mendapatkan maklumat di hujung jari terutama dalam kalangan murid. Menerusi teknologi maklumat ini, manusia akan dapat mempelajari pelbagai maklumat keduniaan yang dapat membuka dan meluaskan minda mereka. Selain maklumat pendidikan, kita juga dapat mencari maklumat mengenai hiburan, isu-isu politik dan sebagainya.
Selain itu, manusia juga dapat berkomunikasi antara satu sama lain tanpa sempadan. Pengenalan mengenai laman sosial seperti "Facebook", "Twitter", "Friendster" dan sebagainya telah menghubungkan manusia dengan dunia luar. Sebagai contoh seseorang yang berada di luar negara sama ada atas urusan perniagaan atau menuntut ilmu dapat melepaskan rindu serta bertanya khabar kepada keluarga tercinta yang berada di perantaan hanya dengan menggunakan teknologi laman sosial.
Seterusnya, teknologi maklumat ini juga memudahkan ahli perniagaan menjalankan aktiviti perniagaan mereka hanya di dalam talian sahaja sekaligus dapat menjimatkan kos dan tenaga. Aktiviti perniagaan yang dijalankan melalui talian bukan sahaja dapat memudahkan urusan pekerja, bahkan ia juga dapat memudahkan pembeli atau pengguna.
Akhir sekali, manusia dapat melakukan pembayaran bil dan urusan perbankan melalui laman sesawang sahaja. Manusia tidak perlu menghabiskan tenaga dan bersusah-payah untuk menguruskan pelbagai pembayaran dan urusan-urusan kewangan. Ia juga memudahkan seseorang yang terlalu sibuk dengan kerja seharian membuat pembayaran dengan mudah.
Kesimpulannya, teknologi maklumat yang ada marcapada memainkan peranan vital kepada setiap manusia. Teknologi maklumat ini haruslah digunakan dengan sebaik yang mungkin kerana banyak manfaat yang dapat kita peroleh menerusi peranan teknologi maklumat itu sendiri.

Kepentingan Air

Air merupakan keperluan utama hidupan di muka bumi ini. Manusia, tumbuh-tumbuhan dan binatang memerlukan air untuk meneruskan kelangsungan hidup.
      Air ialah sumber minuman kerana tanpa air hidupan akan mati. Sumber minuman ini boleh didapati daripada aliran anak sungai dan diproses sebelum boleh digunakan. Tumbuhan pula bergantung kepada air hujan supaya dapat hidup dengan subur dan menjalankan proses fotosintesis.
      Selain itu, manusia juga menggunakan air untuk menjalani kehidupan seharian. Contohnya, untuk memasak, mandi, mencuci dan sebagainya. Tanpa air, kehidupan manusia akan terjejas dan akan berlakulah kekalutan untuk mendapatkan air.
       Air juga adalah sumber penting kepada para petani untuk tamanan mereka. Tanpa air, tamanan akan kering dan layu serta terjejaslah sumber pendapatan para petani. Manusia juga akan mendapat kesusahan kerana kekurangan sumber makanan yang berasaskan sayur-sayuran dan bijirin. 
       Di samping itu, kilang-kilang juga sangat memerlukan air dalam penghasilan produk mereka. Contohnya, kilang yang membuat ais, minuman dan makanan. Tanpa air, operasi kilang akan terhenti dan pastinya menyebabkan kerugian yang besar kepada pekilang.

       Kesimpulannya, air adalah sumber semula jadi yang sangat penting dan berkaitan dengan kehidupan manusia. Namun, sebagai pengguna kita hendaklah berjimat semasa menggunakan air supaya tidak berlaku pembaziran.

Amalan Jimat Cermat

Berjimat-cermat Amalan Mulia

Amalan berjimat-cermat harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Berjimat-cermat bermaksud menggunakan apa yang kita miliki untuk perkara-perkara yang perlu sahaja tanpa pembaziran.
Banyak faedahnya apabila kita berjimat-cermat. Antara faedahnya ialah kita boleh menyimpan atau menabung wang untuk tujuan yang lebih penting. Wang itu nanti boleh digunakan untuk perkara yang lebih berfaedah seperti membeli buku-buku latihan dan sebagainya lagi.
Selain itu, sikap berjimat-cermat akan menyebabkan seseorang sentiasa berfikir panjang sebelum membeli sesuatu barangan. Sikap seperti ini boleh mengurangkan kesilapan membeli sesuatu barangan yang kurang perlu sehingga akhirnya barangan tersebut terbuang begitu sahaja. Ini tentu merugikan kita. 
Berjimat-cermat juga mengelakkan seseorang daripada terjebak dengan masalah hutang. Orang yang berbelanja dengan boros biasanya tidak berfikir panjang untuk berbelanja sehingga mereka sanggup berhutang. Ini menyebabkan mereka terjerat dengan masalah hutang hingga menyusahkan diri mereka sendiri.
Berjimat-cermat juga bermakna kita dapat memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, mengisi masa lapang dengan bersukan akan menjadikan tubuh kita sihat dan cergas. Ini dapat mengelakkan kita daripada selalu berulang-alik ke klinik atau hospital akibat daripada masalah kesihatan. Hal yang demikian tentu akan membazirkan masa dan wang untuk mendapatkan rawatan.
Di samping itu, amalan berjimat-cermat juga menjadikan seseorang itu berdisplin tinggi. Mereka sentiasa mengambil berat tentang penjimatan dan kecermatan. Misalnya, mereka akan sentiasa menutup kembali barangan elektrik seperti kipas, pendingin hawa dan sebagainya selepas digunakan. Ini akan mengelakkan mereka daripada membayar bil elektrik yang tinggi.
Kesimpulannya, kita perlu sentiasa berusaha bagi memastikan amalan berjimat-cermat menjadi budaya hidup kita. Amalan ini pasti akan menguntungkan kita serta mengelakkan kita ditimpa pelbagai masalah.

Jumaat, 2 September 2016

Kelebihan Sukan

KARANGAN FAKTA : FAEDAH BERSUKAN



Bersukan merupakan aktiviti riadah yang dapat mengeluarkan peluh daripada tubuh badan kita. Malah, kerajaan menggalakkan rakyatnya sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti sukan. Hal ini kerana melalui bersukan banyak faedah yang kita peroleh.
           Salah satu daripada faedahnya ialah 
dapat menyihatkan tubuh badan. Apabila kita berakreasi seperti berbasikal, bermain badminton dan sebagainya, badan akan mengeluarkan peluh dan berlaku pembakaran lemak dalam tubuh kita. Kesannya, badan kita menjadi sihat dan cergas serta tidak berasa lesu ketika belajar di dalam kelas.
Seterusnya, melalui bersukan kita dapat mengeratkan hubungan dan menambah kenalan. Kita dapat berkenalan dengan sesiapa sahaja tidak mengira umur, bangsa mahupun agama. Kebiasaannya, ketika kita berjoging di taman-taman, kita akan bertegur sapa dengan individu yang berada di kawasan itu. Hal ini akan mengeratkan hubungan dan perpaduan antara kaum dapat dipupuk.
            Selain itu, bersukan juga merupakan aktiviti 
mengisi masa lapang secara bermanfaat. Sesi latihan  permainan atau beriadah biasanya dijalankan ketika waktu lapang. Kesibukan kita menyertai sesi latihan dan beriadah dapat menghidarkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial.

Di samping itu, dengan bersukan kita dapat mengharumkan nama sekolah. Sekiranya kita berbakat dalam bidang sukan, kita akan dapat mewakili pasukan sekolah, daerah, negeri mahupun negara. Apabila kita berjaya memenangi mana-mana kejohanan sukan, maka kita telah berjaya mengharumkan nama sekolah. Nama kita juga kian dikenali dan rezeki makin bertambah.
        Kesimpulannya, tiada menjadi kerugian jika kita aktif bersukan. Marilah kita bersama-sama menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia masyarakat yang cerdas dan cergas.

Kepentingan Kokurikulum

Kepentingan Kegiatan Kokurikulum di Sekolah
Kegiatan kokurikulum ialah aktiviti luar bilik darjah yang dibimbing oleh guru-guru. Pelbagai aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah, misalnya aktiviti kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta pasukan beruniform. Oleh yang demikian, aktiviti kokurikulum perlu disertai oleh murid-murid kerana ada banyak kepentingannya.
Kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang. Dengan menyertai aktiviti kokurikulum, kita tiada masa untuk melepak dan  bergaul dengan budak-budak nakal. Secara tidak langsung akan dapat menghindari diri kita daripada terjebak dengan gajala sosial. Contohnya, jika kita aktif dalam bidang sukan, masa lapang kita akan diisi dengan latihan yang diselia oleh guru-guru.
Selain itu, kegiatan kokurikulum dapat membentuk disiplin diri. Contohnya, semasa menyertai aktiviti persatuan, sukan atau unit beruniform, kita akan dilatih menepati masa, berpakaian kemas dan mematuhi peraturan. Disiplin sangat penting untuk mencapai kejayaan. Pelajar yang tidak berdisiplin susah untuk berjaya.
Di samping itu, kegiatan kokurikulum juga dapat melatih pelajar menjadi pemimpin. Ada pelbagai jawatan dalam persatuan seperti pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli jawatankuasa dan ahli biasa. Apabila pelajar memegang sesuatu jawatan maka kita akan belajar menjadi ketua dan menguruskan aktiviti persatuan. Oleh hal yang demikian, dengan menyertai aktiviti kokurikulum, pelajar akan belajar menjadi pemimpin.
Seterusnya, kegiatan kokurikulum akan mengukuhkan lagi perpaduan. Setiap unit kokurikulum mempunyai ramai ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Dalam aktiviti yang dijalankan, semua ahli akan berkumpul. Kita boleh berbincang untuk bertukar-tukar pendapat serta bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dengan ini akan mengeratkan hubungan sesama ahli.
Kesimpulannya, banyak kepentingan kegiatan kokurikulum kepada murid-murid di sekolah.Oleh itu, pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum.

Membaca Jambatan Ilmu

Faedah-faedah Membaca

Amalan membaca merupakan salah satu tabiat yang amat bermanfaat. Semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca kerana Membaca Jambatan Ilmu.
Antara kebaikan membaca termasuklah dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Kita dapat mengetahui tentang perkara-perkara baru yang tidak kita ketahui sebelum ini. Pengetahuan am kita akan bertambah luas dan kita akan menjadi lebih bijak.
Selain itu, kita dapat mengetahui tentang isu-isu atau perkembangan semasa yang berlaku di dalam negeri dan di luar negara. Contohnya isu kegawatan ekonomi, bencana dan peperangan, krisis air dan pelbagai peristiwa yang berlaku di seluruh dunia. Justeru, kita tidak lagi ketinggalan zaman atau dianggap "seperti katak di bawah tempurung".
Membaca dapat mematangkan fikiran kita juga. Dengan membaca, kita dapat mengetahui tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Oleh itu, kita didorong untuk berfikir secara lebih baik dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara itu.
Masa adalah emas dan perlu digunakan dengan bijak. Membaca buku-buku seperti ini amat bermanfaat. Kita haruslah tanamkan sikap suka membaca buku. Jadikanlah amalan membaca buku amalan harian.

Sesungguhnya banyak kebaikan atau faedah yang dapat diperoleh dengan membaca. Justeru, tabiat membaca harus dijadikan amalan seharian. Kita perlu mencontohi sikap masyarakat di negara maju seperti Jepun yang menjadikan membaca sebagai budaya hidup mereka.

Pengalaman Mengunjungi Tempat Yang Menarik

contoh karangan upsr percutian di pulau langkawi

Pada cuti persekolahan minggu lalu, ayah membawa kami sekeluarga makan angin di Pulau Langkawi. Kami pergi dengan menaiki kereta Naza Ria. Setelah melalui Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) selama tujuh jam, akhirnya kami tiba di Kuala Perlis.
       Kami kemudiannya menaiki feri menuju ke Jeti Kuah. Perjalanan yang mengambil masa hampir satu jam itu saya gunakan untuk menikmati keindahan laut yang membiru. Nun di kejauhan, saya terlihat sampan nelayan berkolek-kolek dipukul ombak.
       Apabila tiba di jeti, ayah segera menyewa sebuah kereta. Ayah membawa kami ke sebuah hotel yang sudah ditempah. Sesampainnya di hotel, kami segera mandi, bertukar pakaian dan bersolat.
       Hari kedua kami isikan dengan melawat sekitar pulau. Kami tidak melepaskan peluang melihat tempat-tempat menarik seperti Makam Mahsuri dan Kampung Buku. Kami adik-beradik berpeluang berkejaran di pantai yang bersih.
       Ibu mengajak kami membeli-belah di Pekan Kuah. Banyak barang yang ibu beli seperti pinggan mangkuk dan kain batik. Untuk kami yang seramai enam orang, ibu belikan pakaian.

       Hari ketiga, kami berangkat pulang meninggalkan pulau yang indah, bersih dan menarik itu. Tempoh tiga hari bagi kami tidak mencukupi untuk melawat sebuah pulau yang agak luas. Namun, pengalaman percutian itu amat besar maknanya bagi saya.

Aktiviti Di Sekolah

Karangan ucapan- majlis persaraan guru kelas

 Guru kelas kamu akan bersara tidak beberapa lama lagi. Kamu dan rakan-rakan sekelas telah mengadakan satu majlis untuk meraikan persaraan tersebut. Kamu diminta untuk menyampaikan ucapan  sempena  majlis tersebut.
Tulis ucapan kamu selengkapnya.

Yang berusaha En Mazlan Bin Lazim selaku guru besar, Yang diraikkan En. Azmi Bin Salleh, yang dihormati  guru-guru serta  rakan-rakan yang dikasihi.
  Terlebih  dahulu saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang  diberikan kepada saya  mewakili kelas 6 Zamrud untuk menyampaikan ucapan sempena persaraan En.  Azmi Bin Salleh iaitu guru kelas yang sangat kita kasihi.
    Hari ini merupakan hari terakhir Cikgu Azmi berada dalam kalangan kita dan menaburkan jasa serta baktinya kepada kita semua. Sesungguhnya perkhidmatan serta jasanya di sekolah ini sangatlah besar. Hampir setahun beliau menjadi guru kelas kami dan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada kami.
    Sepanjang beliau mendidik kami, begitu banyak bakti yang telah beliau taburkan tambahan pula tidak beberapa lama lagi kami akan menempuh Peperiksaan UPSR. Segala bimbingan dan tunjuk ajar yang  telah diberikan oleh Cikgu Azmi akan terus kami amalkan.
    Kami amat berharap agar Cikgu Azmi sentiasa dilimpahi rahmat dan sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera. Kami berdoa semoga Cikgu Azmi  dapat menempuh usia persaraan dengan gembira di samping keluarga tercinta.
     Sebelum saya mengundurkan diri, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun lama buat cikgu Azmi:

   Pulau Pandan jauh ke tengah,
        Gunung Daik Bercabang tiga,
   Hancur badan dikandung tanah,
        Budi yang baik dikenang juga.


Sekian, terima kasih.

Aktiviti Di Sekolah

Anda selaku ketua darjah diminta menyampaikan ucapan dalam majlis perpisahan untuk murid-murid Tahun Enam.
____________________________________________________________

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini.

Hadirin sekalian,

Sudah hampir 6 tahun kami berada di sekolah ini. Jika menghitung hari persekolahan, bermakna tinggal 6 hari lagi kami menjadi warga sekolah ini. Justeru, kami terpaksa mengucapkan  selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-adik yang dikasihi walaupun kami masih terlalu sayang untuk meninggalkan sekolah ini.

Kami amat menghargai akan jasa guru-guru di sekolah ini yang mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar, dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan megira. Kami akan sentiasa mengingati pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara.

Hadirin sekalian .

Budi yang guru-guru taburkan tidak mampu kami membalasnya. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru itu. Kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti.

Akhir kata saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Kami berasa sangat sedih kerana terpaksa meniggalkan sekolah ini. Jasa dan bakti guru-guru akan kami kenang sehingga akhir hayat kami.

Sebelum saya mengundur diri terimalah serangkap pantun daripada saya;

Ramai orang menanam padi,
Padi ditanam hingga ke seberang,
Banyak budi perkara budi,
Budimu guru dikenang orang.

Sekian, terima kasih.

Aktiviti Di Sekolah

Ucapan : Majlis Perpindahan Guru Kelas
Guru kelas kamu akan berpindah ke sekolah lain. Sebagai Ketua Kelas, kamu diminta menyampaikan ucapan dalam satu majlis perpisahan.

                Yang dihormat Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Guru Besar, yang dikasihi guru-guru, yang diraikan Cikgu Ahmad iaitu guru kelas serta rakan-rakan sekalian.
                Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang mewakili murid kelas 6 Melur untuk berucap dalam majlis perpisahan ini. Kami semua berasa sungguh terkejut dan sedih apabila mendengar berita perpindahan guru kelas kami.
Hadirin sekalian,
                Cikgu Ahmad sudah lama berkhidmat di sekolah ini. Beliau mengajar kami mata pelajaran Bahasa Melayu.  Selain itu, beliau juga mengajar kami mata pelajaran Kajian Tempatan.
                Cikgu Ahmad seorang yang sangat baik dan penyayang. Beliau juga merupakan guru yang berdedikasi. Beliau mengajar kami dengan bersungguh-sungguh.
                Cikgu Ahmad telah banyak menyumbang jasa kepada sekolah kita. Banyak murid tahun 6 mendapat gred A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Ini  disebabkan usaha beliau yang gigih mengajar kami tanpa jemu.
Hadirin yang dihormati,
                Cikgu Ahmad merupakan guru penasihat pasukan bola sepak SK Wawasan. Beliau selalu melatih pemain bola sepak untuk meningkatkan kemahiran dan stamina. Pada tahun 2015, kita telah mendapat johan bagi Pertandingan Bola Sepak bawah 12 Tahun peringkat kebangsaan.   
                Kami mendoakan semoga cikgu gembira dan bahagia di sekolah baharu. Kami akan sentiasa mengingati cikgu. Saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun:

                Hari ini hari Ahad
                Lusa hari Selasa
                Terima kasih Cikgu Ahmad
                Jasa cikgu kami tak lupa

Sekian, terima kasih.

Aktiviti Di Sekolah

BERITA - Minggu Bahasa Peringkat Sekolah

SEREMBAN , Selasa - Sekolah Kebangsaan Wawasan telah mengadakan minggu bahasa peringkat sekolah dari 18 Jun 2016 hingga 22 Jun 2016. 
            Program ini telah dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Wawasan. Tujuan program ini adalah untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu dan memberi peluang kepada semua murid menyertai pertandingan berbahasa.
            Sempena minggu bahasa ini, pihak penganjur telah mengadakan pelbagai pertandingan seperti pertandingan bercerita, mengarang cerpen, pidato, mendeklamasikan sajak dan kuiz.
            Semua murid tahap satu dan tahap dua telah mengambil bahagian dalam pertandingan itu. Sebelum pertandingan dijalankan, Pn.Hajah Mariyati binti Haji Sapuan , Guru Besar sekolah Kebangsaan Wawasan telah merasmikan program ini.
            Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Hampir setiap acara yang dipertandingan disertai lebih 30 orang peserta.
            Pada hari yang terakhir, telah diadakan majlis penyampaian hadiah. Hadiah- hadiah telah disampaikan oleh Tuan Guru Besar. Murid-murid yang berjaya akan mewakili sekolah jika ada pertandingan di peringkat daerah nanti.

Aktiviti Di Sekolah

Laporan Minggu Bahasa Peringkat Sekolah

Sekolah Kebangsaan Wawasan telah mengadakan minggu bahasa peringkat sekolah dari 18 Jun 2016 hingga 22 Jun 2016.
            Program ini telah dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Wawasan. Tujuan program ini adalah untuk memantapkan penggunaan bahasa Melayu dan memberi peluang kepada semua murid menyertai pertandingan berbahasa.
            Sempena minggu bahasa ini, pihak penganjur telah mengadakan pelbagai pertandingan seperti pertandingan bercerita, mengarang cerpen, pidato, mendeklamasikan sajak dan kuiz.
            Semua murid tahap satu dan tahap dua telah mengambil bahagian dalam pertandingan itu. Sebelum pertandingan dijalankan, Pn.Hajah Mariyati binti Haji Sapuan , Guru Besar sekolah Kebangsaan Wawasan telah merasmikan program ini.
            Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Hampir setiap acara yang dipertandingan disertai lebih 30 orang peserta.
            Pada hari yang terakhir, telah diadakan majlis penyampaian hadiah. Hadiah- hadiah telah disampaikan oleh Tuan Guru Besar. Murid-murid yang berjaya akan mewakili sekolah jika ada pertandingan di peringkat daerah nanti.

Dilaporkan oleh,                                                                25 JUN 2016
Amirulrasyhid
(AMIRUL RASYHID BIN JASLAN )
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Wawasan.